Thursday 12 March 2009

Utusan - Transformasi Tiara dalam AF7

Utusan Online

Transformasi Tiara dalam AF7


TRANSFORMASI Tiara Jacquelina dalam AF7 dijangka mampu memperkembangkan lagi bakat para peserta program TV realiti itu.


SELAKU pengetua program televisyen (TV) realiti Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Datin Seri Tiara Jacquelina mempunyai perancangan dan matlamatnya yang tersendiri.

Beliau misalnya, telah menggariskan beberapa hala tuju buat kalangan peserta program TV realiti itu bagi melahirkan bakat-bakat seni yang lebih berkaliber pada masa depan.

Menurut Tiara, dia cuba meletakkan tanda aras yang tinggi sebagai suatu transformasi untuk dicapai oleh para peserta AF7 sepanjang tempoh tiga bulan pengajian di akademi tersebut.

"Transformasi merupakan kata kunci saya dalam menerajui AF7. Saya faham tagline itu sesuatu yang berat. Kata orang alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

"Sejak dulu, sebelum melakukan apa-apa projek saya selalu letakkan sesuatu tanda aras untuk dicapai. Begitu juga dalam AF7," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis anjuran Astro Ria itu diadakan bagi mengumumkan pelantikan Tiara sebagai pengetua AF7 yang akan memulakan konsert minggu pertamanya pada 14 Mac ini.

Pengetua AF7 ini contohnya, menetapkan tujuh syarat yang harus ada di kalangan peserta akademi itu sebelum mampu menjadi penghibur yang disegani ramai.

"Seseorang peserta itu haruslah mempunyai bakat menyanyi yang luar biasa, mempunyai matlamat yang tinggi dan yakin untuk mencapai kecemerlangan tersebut.

"Pada masa sama, mereka juga haruslah berdedikasi dalam bidang ini, ada faktor 'x', fokus dalam usaha membentuk imej tersendiri selain sihat tubuh badan," ujarnya.

Pelakon dan penerbit teater muzikal Puteri Gunung Ledang ini menjelaskan transformasi dan hala tuju AF7 itu dalam suatu pembentangan ringkasnya pada majlis yang sama.

Jelas Tiara, kesemua faktor itu akan dititikberatkannya di kalangan pelajar AF7 supaya hasratnya untuk melahirkan bintang yang bergelar ikon menjadi kenyataan.

Ini kerana, kemunculan AF7 bukan sekadar meneruskan kesinambungan atau populariti program itu, sebaliknya ia bertujuan mencari bakat nyanyian yang berkualiti.

"Melalui AF kita bukan sekadar mahu melahirkan penyanyi kerana kita memang ada ramai penyanyi. Tetapi kalau boleh bukan setakat penyanyi tetapi juga seorang ikon.

"Kita mahu melahirkan penyanyi yang bukan setakat terbaik di Malaysia tetapi juga hingga ke persada dunia. Segala persiapan harus dilakukan termasuklah fasih berbahasa Inggeris.

"Kalau tidak macam mana mereka mahu berkomunikasi dengan orang luar kerana seseorang penyanyi itu akan mewakili negara yang diwakilinya," katanya.

Ketika ditanya tentang transformasi dan hala tuju musim baru AF itu, kata Tiara ia datang daripada cetusan inspirasi serta aspirasinya sendiri di mana ia dipersetujui oleh pihak Astro.

Astro Ria yang menyiarkan AF7 bakal menyaksikan banyak penekanan terhadap para peserta hasil idea, usaha dan komitmen padu Tiara bagi mencapai hasratnya itu.

"Saya lakukan semua ini semata-mata kerana impian saya ingin melihat kelahiran seorang bintang yang hebat. Impian dan pengalaman saya itu akan dikongsi bersama para pelajar AF7.

"Bagi saya ini suatu perjalanan seorang bintang baru yang bermula from zero (dari kosong) untuk menjadi seorang hero. Setiap peserta akan lalui transformasi ini dan ia bukannya mudah.

"Semuanya bermula daripada nobody (tidak terkenal) kepada somebody (terkenal) seperti yang telah dilalui oleh Mawi (juara AF3) contohnya. Ia suatu perjalanan yang sukar," jelasnya.

Kata Tiara, tawaran dan peluang menjadi Pengetua AF7 akan digunakan sepenuhnya bagi mencurahkan pengalamannya sebagai penyanyi dan pelakon kepada para peserta AF7.

Apatah lagi, beberapa hari sebelum menerima tawaran itu, beliau memang mempunyai perancangan untuk menubuhkan sebuah akademinya sendiri.

"Sebelum ini ada wartawan yang tanya saya, apakah yang akan saya lakukan selepas pementasan muzikal Puteri Gunung Ledang berakhir baru-baru ini.

"Saya kata, saya mahu tubuhkan sebuah akademi seni sendiri. Mungkin pembabitan saya dalam AF7 suatu kebetulan. Ini adalah masa yang tepat untuk saya mencurahkan komitmen saya," katanya.

Biarpun mempunyai tanda aras yang tinggi menerusi transformasi itu, namun ibu kepada dua anak ini yakin ia tidak mustahil dicapai asalkan ada kesungguhan di kalangan peserta AF7.

Tambah Tiara, kesungguhan serta kesukaran pasti ditempuhi oleh mana-mana penyanyi sebelum muncul sebagai penyanyi yang berkaliber dan mampu menerjah hingga ke persada dunia.

"Saya tahu jalan menuju puncak ini penuh liku tapi ia tidak mustahil untuk dicapai biarpun dalam masa tiga bulan pengajian di akademi ini (AF). Apa yang penting ialah semangat para pelajar.

"Kalau mereka tidak yakin dengan bakat dan diri mereka sendiri kita pun susah untuk membimbing mereka. Mereka haruslah berani untuk ditransformasikan," ujarnya.

Pengetua wanita pertama

Selain transformasi buat pelajar AF7, Tiara tidak menganggap sebagai suatu kelainan apabila dia muncul sebagai Pengetua wanita pertama akademi itu selepas enam musim berlangsung.

Sebelum ini posisi Pengetua AF disandang oleh kalangan lelaki iaitu Freddie Fernandez (AF1), Ramli MS (AF2 dan AF6), M. Nasir (AF3), Ramli Sarip (AF4) dan Roslan Aziz (AF5).

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata, pemilihan Tiara sebagai Pengetua AF7 telah dilakukan selepas perbincangan selama lima bulan.

Dalam tempoh waktu itu, pelbagai nama telah dicadangkan termasuklah oleh media massa bagi memilih calon-calon yang sesuai dan mempunyai kelayakan menggalas tanggungjawab tersebut.

"Antara kriteria pemilihan Pengetua AF ialah pengalaman seseorang calon dan komitmen yang sanggup diberikan kepada program ini. Kami ambil masa berbincang dengan semua pihak di Astro.

"Sebelum ini kami ada enam calon tetapi ini adalah rezeki Tiara. Kalau ada yang tanya mengapa Tiara kerana dia bukan penyanyi, saya rasa dia juga ada banyak kelebihan.

"Tiara berpengalaman luas dalam bidang persembahan pentas. Kami yakin dengan kemampuannya ," kata Khairul Mizan.

Empat belas peserta yang akan bersaing bagi merebut juara AF7 ialah Yazid, Aril, Qhaud, Sidi, Obri, Hafiz, Akim, Rubisa, Claudia, Adila, Aishah, Zizi, Rini serta Isma.

3 comments:

Liz Duan said...

wow...me .. fan of AF (i just love having wild guesses on saturday night) and a fan of yours....am so thrilled to see all this transformation....

princess penelope said...

i truly agree with ur vision in producing a world class performer....in whatever field we are in... it is no matter how good you are inmalaysia... it is ow how well can u compete globally....thanks tiara for inspiring me ....

princess penelope said...

we may be in differet field... but your thinking and action inspire me.... :) i also would like to be among the world best in my field.. thank you tiara... u r truly a BMW @ beautiful mother at works!!! ... beautiful inside and out, outstanding and a wonderful person... i adore u...