Sunday, 15 March 2009

Sultanmuzaffar's blog - Dari Puteri Ke Pengetua

Dari Puteri Ke Pengetua

Pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke 50, Datin Seri Tiara Jacquelina terpilih sebagai Pengetua Akademi Fantasia Musim 7. Selepas mencipta fenomena luar biasa menerusi teater Puteri Gunung Ledang The Musical, kini Tiara bakal menggalas cabaran lebih besar dalam program realiti paling popular itu.

Buat pertama kalinya dalam sejarah program realiti tersebut, seorang pelakon dipilih sebagai Pengetua. Pelakon itu merupakan pelakon utama yang memegang peranan sebagai Gusti Puteri dalam teater Puteri Gunung Ledang The Musical.

Antara filem yang dibintangi oleh Tiara ialah Irisan-Irisan Hati pada tahun 1988, bergandingan bersama Imuda dalam filem Mat Som pada tahun 1988, mencipta nama menerusi filem Ringgit Kasorga dan sebuah filem antarabangsa berjudul Beyond Rangoon pada tahun 1995 dan mencetuskan fenomena menerusi filem Puteri Gunung Ledang pada tahun 2004.

Tiara memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Ringgit Kasorga di Festival Filem Malaysia ke 12 dan anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Puteri Gunung Ledang di Festival Filem Asia Pasifik ke 50 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Pemilihan Tiara sebagai Pengetua merupakan antara transformasi yang dilakukan oleh Astro untuk memantapkan program realiti tersebut. Keberanian Astro mempertaruhkan nasib Akademi Fantasia wajar disokong. Saya melihat pembaharuan yang cuba dilakukan ini amat penting dalam industri muzik yang kian tenat. Kita harus melihat pemilihan ini secara positif. Pertama, pengiktirafan kepada seorang wanita dan kedua pemilihan seorang pelakon.

Dalam industri muzik yang kian tenat, tidak ramai di antara bekas pelajar Akademi Fantasia yang menjadi penyanyi. Hanya seorang dua sahaja yang berjaya sebagai penyanyi, selebihnya ada yang menjadi pelakon dan selebihnya juga hilang entah ke mana. Pemilihan Tiara sebagai Pengetua menguatkan lagi barisan tenaga pengajar untuk melatih pelajar selain menjadi penyanyi tetapi juga sebagai seorang pelakon. Kredibiliti Tiara dalam bidang lakonan tidak harus dipertikaikan, baik di layar perak mahu pun di pentas teater.

Elemen nyanyian perlu dikekalkan dalam Akademi Fantasia malah disuntik elemen teaterikal menjadikan persembahan pelajar lebih bermakna. Antara persembahan-persembahan pelajar yang masih saya ingati juga merupakan persembahan yang disuntik elemen teaterikal seperti contohnya persembahan lagu Memories oleh pelajar AF2 dan persembahan Sekuntum Mawar Merah oleh Sahri.

Selain daripada pemilihan seorang Pengetua wanita, Astro turut membuat perubahan dalam pasukan produksi yang hampir keseluruhannya adalah orang baru. Ini termasuk pemilihan bekas wartawan Malay Mail iaitu Joe Lee yang sebelum ini sering mengkritik program realiti tersebut. Khabarnya, pemilihan wartawan itu untuk memantapkan program Diari.

Kemasukan Hashridz Murshim atau lebih dikenali sebagai Acis sebagai Pengarah Muzik, pelakon Ida Nerina dan seorang koreografer baru iaitu A.Aris Kadir turut dilihat sebagai salah satu transformasi yang ingin disuntik dalam Akademi Fantasia musim ini. Jika selama ini penonton AF sudah biasa menonton aksi Linda Jasmine, kini penonton diberikan seorang koreografer lelaki. Selain mereka, Siti Hajar Ismail, Fatimah Abu Bakar dan Syafizawati Sharif turut bakal mencetuskan transformasi dalam Akademi Fantasia.

Tahniah Tiara !

1 comment:

keylee daud said...

Tahniah datin seri.all the best