Tuesday, 10 March 2009

Harian Metro-Kejutan besar AF7

myMetro

Kejutan besar AF7

KUALA LUMPUR: Rancangan realiti tv terbitan Astro Ria, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), bermula dengan kejutan ‘besar’ apabila pertama kali melantik pengetua wanita iaitu penerbit dan pelakon utama teater Puteri Gunung Ledang (PGL), Datin Seri Tiara Jacquelina.

Pengumuman itu dibuat menerusi rancangan Diari AF7 yang pertama kali disiarkan dan diikuti sidang akhbar khas di Damansara di sini, semalam.

Sebelum pengumuman dibuat pihak penerbitan AF7 masih cuba berteka-teki dengan wakil media yang hadir apabila turut menjemput Pengarah Muzik, Hashridz (Acis) Murshim Hassim suami kepada penyanyi, Datuk Sheila Majid hadir ke majlis diadakan. Sheila sebelum ini dikatakan bakal memegang jawatan penting dalam rancangan itu.

Sewaktu ditemui, Tiara menjelaskan dia menerima tawaran itu daripada produksi Astro beberapa minggu lalu.

“Saya mengikuti rancangan Akademi Fantasia sejak musim pertama dan apa yang menarik perhatian saya untuk menyandang jawatan pengetua adalah tema yang digunakan tahun ini iaitu ‘transformasi’. Melihat dari sudut itu saya memikirkan banyak perkara boleh dilakukan terutama kepada pelajar terpilih.

“Misi saya untuk menjadikan mereka penghibur terbaik bukan saja di sini, tetapi ke peringkat antarabangsa. Kerana itu penggunaan bahasa Inggeris turut diberikan penekanan kepada pelajar musim ini,” katanya.

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, pada majlis sidang akhbar itu menjelaskan pihaknya membuat tawaran kepada hampir semua nama yang disebut pihak media untuk menjadi pengetua.

Antara mereka yang disebut bakal menjawat jawatan itu selain Sheila, seperti penghibur bertaraf antarabangsa, Anita Sarawak, Aznil Nawawi, dan beberapa nama komposer berpengalaman tanah air.

“Proses pemilihan jawatan pengetua sebenarnya dibuat hampir lima bulan lalu dan banyak nama disenaraikan. Boleh dikatakan semua nama yang disebut pihak media sebelum ini turut kami temui,” katanya.

No comments: