Saturday, 24 January 2009

Article in Utusan - Selamat Tinggal Gusti Putri...

ARKIB : 22/01/2009

Selamat tinggal Gusti Putri


SEDIH... Air mata seorang puteri akhirnya gugur ke bumi.


MENGENALI wanita berhati waja ini, tidak sesekali dia akan tunduk kepada mereka yang dilihat bagaikan tidak senang melihat kejayaan yang diraihnya selama ini.

Malah, dengan kritikan dan kata-kata nista itu jugalah dijadikan azimat dan perangsang untuk melakukan serta memelihara martabat industri seni dan budaya negara.

Dek kerana itu, dia juga dianggap sebagai perintis dalam mengangkat teater muzikal ke peringkat yang lebih tinggi dan kejayaannya itu ternyata melenyapkan segala spekulasi serta tanggapan negatif terhadap semangatnya itu.

Namun, entah mengapa, pagi yang cerah itu menjadi hening apabila air mata seorang puteri gugur sehingga menyebabkan teman media yang hadir terpaku dan terdiam seketika.

Lantas, Datin Seri Tiara Jacquelina membuka bicaranya apabila dia tekad untuk tidak lagi membawakan watak Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah dalam pementasan Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM) selepas musim ketiga yang akan membuka tirainya pada 6 Februari ini.

Ketika butir-butir kata itu dilafazkannya, dia tidak lagi mampu untuk membendung air matanya daripada mengalir. Apatah lagi dengan ditemani oleh salah seorang sahabat baiknya, Ida Mariana di sisi, menjadikan Tiara menjadi lebih sebak.

Berbekalkan semangat dan iltizam yang cukup kuat dalam dirinya, isteri kepada Datuk Seri Effendi Norwawi ini menyambung bicaranya dalam nada suara yang tersekat-sekat.

"Hampir setengah dekad jiwa saya begitu sebati dengan watak Gusti Putri atau Puteri Gunung Ledang. Bermula dengan wataknya dalam filem sehinggalah ke teater muzikal, saya sudah puas hidup dalam dunia Gusti Putri.

"Watak ini cukup besar dalam hidup saya kerana dengan watak ini jugalah, PGL telah kembara ke seluruh dunia dan mendapat perhatian ramai. Kini, sudah tiba masanya untuk saya meneruskan kehidupan saya untuk mencuba sesuatu yang baru pula," jelasnya ketika ditemui di kediamannya di Sentul West, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sememangnya keputusan ini amat berat untuk dilakukannya apatah lagi Gusti Putri sudah menjadi watak ikon, namun, jelas Tiara, itu bukan bermakna dia akan melupakan terus dunia teater yang sudah lama menjadi makanan rujinya.

"Saya akan masih lagi meneruskan tugas saya sebagai seorang penerbit eksekutif untuk sebarang pementasan teater muzikal terbitan Enfiniti. Buat masa ini, saya tidak terfikir lagi apakah cabang seni yang mahu saya lakukan.

"Mungkin juga saya akan kembali menerbitkan filem dan juga berlakon kerana saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk berbuat demikian. Semuanya kerana tumpuan, fokus dan keringat yang dicurahkan untuk PGLM," katanya.

Kali terakhir, Tiara beraksi dalam filem adalah pada tahun 2004 menerusi filem Puteri Gunung Ledang arahan Saw Teong Hin.

Bukan itu sahaja, Tiara juga pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-12 menerusi filem Ringgit Kasorrga pada tahun 1995.

Tiara turut ditanya adakah dengan pengumuman yang dilakukannya adalah satu gimik untuk melariskan penjualan tiket PGLM, dengan sekuntum senyum, Tiara menggelengkan kepalanya.

"Tidak terlintas niat saya untuk menyatakan ini sebagai satu gimik. Malah, pengunduran saya ini juga bukanlah kerana desakan sesiapa tetapi atas kerelaan saya sendiri.

"Kerana itu juga, saya berjanji untuk memberikan yang terbaik dalam PGLM musim ketiga sebelum saya meninggalkan naskhah yang cukup indah itu. Janji saya, penonton akan dapat menyaksikan magis dan sentuhan yang berbeza dalam PGLM kali ini," tuturnya penuh makna.

Pelakon Wanita Terbaik Asia Pasifik Ke-50 ini juga menyatakan sudah tiba masanya untuk watak Gusti Putri dibawakan oleh pelakon baru dalam usaha memberikan sentuhan serta pendekatan baru dalam PGLM kelak.

"Kalau kita lihat senario di Barat, ia sentiasa berlaku. Teater muzikal seperti Mamma Mia!, Wicked dan Miss Saigon juga mengalami transisi yang sama. Adalah menjadi satu kelaziman jika pada mulanya, kita akan berasa kekok dengan pelakon baru, tetapi lama-kelamaan, ia akan menjadi biasa.

"Tetapi, ingin saya beritahu, pada mana-mana pelakon yang akan membawakan watak Gusti Putri ini kelak, mereka harus komited dan memberikan tumpuan yang sepenuhnya dalam menjayakan watak ini. Teater muzikal bukan seperti drama atau filem," kata Tiara dalam nada tegas.

Ibu kepada Hani Karmila dan Muhammad Eridani ini juga meluahkan hasratnya untuk menubuhkan sebuah sekolah yang menumpukan pengajian kepada pembangunan seni dan budaya negara khususnya dalam bidang teater muzikal.

"Saya sedar saya tidak mampu melakukannya seorang diri sebaliknya ia perlu disokong oleh pelbagai pihak terutama kerajaan dan sektor swasta untuk sama-sama merealisasikan usaha murni ini," jelasnya.

Mengenai perkembangan terbaru PGLM musim ketiga yang akan bermula 6 Februari ini, pemilik nama sebenar Tiara Jacquelina Eu Abdullah ini memberitahu, kini semua pihak sedang giat berlatih di Istana Budaya dalam memantapkan lagi persembahan mereka.

"Semuanya berjalan dengan lancar dan apa yang membuatkan saya gembira adalah komitmen yang diberikan oleh mereka semata-mata mahu menjadikan PGLM musim ini satu kejayaan.

"Apa yang saya harapkan, semua pihak akan memberikan sokongan dan pastinya, anda semua akan terhibur dan terpegun dengan perubahan yang berlaku dalam musim ini nanti. Semua demi kepuasan peminat," kata Tiara.

1 comment:

cancen said...

salam Gusti putri...
cant wait to watch it.all d best to your troupe.My students and I from JB will surely enjoy every moment of it.
thank god tat we manage to get the tickets this time...