Monday, 2 June 2008

P.Ramlee musical review by UTUSAN MALAYSIA



Muslee berjaya zahirkan P. Ramlee

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my

SEPERTI yang kita semua sedia maklum, bukanlah satu kerja yang mudah untuk mengangkat kisah hidup, kerjaya dan cinta Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang mungkin tidak pernah kita ketahui sebelum ini di atas pentas untuk untuk dipertontonkan kepada khalayak.

Namun, itu merupakan satu cabaran yang cukup besar dan ia telah berjaya ditangani dengan baik oleh Enfiniti Productions Sdn. Bhd. (EPSB) untuk ‘menghidupkan’ kembali Seniman Agung itu menerusi teater muzikal mega, P. Ramlee the Musical (PRM).

Sesiapapun tidak mampu menyangkal keberanian dan semangat yang ditunjukkan oleh penerbit eksekutif EPSB, Datin Seri Tiara Jacquelina kerana dia sememangnya begitu yakin dan berani bahawa teater muzikal kedua terbitannya itu mampu mencipta kejayaan yang cukup luar biasa sebagaimana Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM) dua tahun lalu.

Malah, wanita bersemangat waja ini menjanjikan bahawa penonton kali ini akan pasti berasa puas dengan pementasan PRM musim kedua yang sudah pun bermula sejak 28 Jun lalu.

Tambahan pula, dengan mempertaruhkan Musly Ramlee yang tidak mempunyai nama besar sebagai P. Ramlee, sewajarnya, Tiara memang begitu optimistik dengan segala yang telah dilakukannya.

Apa yang pasti, Tiara tidak memungkiri janjinya apabila pementasan musim kedua PRM sememangnya cukup hebat dan fantastik sehingga penonton yang hadir pada malam pembukaan PRM tempoh hari terasa bagaikan P. Ramlee dan era kegemilangannya kembali wujud dan bernyawa.

Memang benar kata Tiara sebelum ini, PRM yang baru ini adalah lebih sesuai untuk dilabelkan sebagai pementasan yang baru dan bukannya musim kedua.

Perubahan terhadap jalan ceritanya lantas menjadikan perjalanan PRM lebih pantas, kemas dan mudah difahami.

Pelbagai emosi yang dialami sewaktu menonton PRM kali ini. Katakan sahaja baik gembira, sedih, tawa dan tangis semuanya cukup lengkap dalam pementasan ini.

Mungkin tidak wajar untuk membandingkan PRM yang terbaru ini dengan musim terdahulu kerana kedua-duanya ditampilkan dengan pendekatan yang berbeza baik pemegang wataknya mahupun dari segi muzik yang ditampilkan.

Tidak keterlaluan dikatakan PRM kali ini terletak pada kehebatan lakonan Musly sebagai P. Ramlee yang berjaya menghidupkan watak ikon negara itu dengan gayanya yang saling tidak tumpah seperti legenda itu. Kedengaran ada juga yang berbisik, “Dia memang macam P. Ramlee lah.”

Percaturan Tiara untuk mempertaruhkan Musly sememangnya tidak pernah silap dan aktor itu diramalkan menjadi seorang bintang besar satu hari nanti.

Mungkin kerana sudah lebih sedekad dia membawa imej P. Ramlee ke mana sahaja dia pergi dalam membuat persembahan, ternyata ia tidak memberikan masalah buat Musly untuk menzahirkan P. Ramlee di Panggung Sari, Istana Budaya (IB).

Memang dapat dilihat lakonan dan nyanyian Musly begitu bagus serta menghampiri tahap sempurna dan walaupun hanya diberikan tempoh kurang dari sebulan untuk sesi latihan, Musly memang cukup berdedikasi dan segala usaha serta keringat yang dicurahkannya itu sudah cukup jelas dapat dilihat menerusi persembahannya.

Meremang bulu roma saat Musly mendengarkan nyanyiannya terutama sekali apabila dia mendendangkan lagu Hujan Di Tengahari dan Di Mana Kan Ku Cari Ganti.

Penghayatannya menerusi kedua buah lagu ini begitu bagus sehingga menusuk ke jiwa dan terasa penderitaan dan kesedihan yang dialaminya apabila kedua-dua isterinya, Junaidah (lakonan Atilia) dan Norizan (Melissa Saila) meninggalkannya kerana tidak dapat menerima suami mereka merupakan figura hebat dan popular.

Kehadiran Musly ternyata meningkah kata-kata orang bahawa dia hanya mampu meniru gaya P. Ramlee tetapi PRM sebenarnya telah menyerlahkan bakat Musly untuk menjadi seorang artis yang versatil.

Bukan itu sahaja, keserasian Musly dengan empat pelakon wanitanya juga terjalin dengan baik dan dapat dilihat mereka tiada masalah untuk bergandingan bersama. Malah, pengaliran watak masing-masing juga berjalan dengan lancar.

Namun bak kata Musly, untuk membawakan watak P. Ramlee memang bukan satu masalah buatnya tetapi, untuk menyakinkan penonton dalam memberikan persembahan terbaik buat penonton membikin hatinya gundah-gulana.

“Perasaan saya tiada siapa yang tahu dan apa yang saya harapkan kini, adalah sokongan dari semua pihak. Saya memilih untuk melibatkan diri dalam teater ini bukanlah bertujuan untuk disanjung dan dipuja tetapi untuk membudayakan masyarakat hari ini tentang P. Ramlee.

“Kerjasama yang diberikan oleh semua pihak ternyata memberi satu pengalaman baru buat saya untuk membuat lebih baik lagi untuk pementasan ini. Seandainya, penonton menganggap saya adalah jelmaan P. Ramlee, itu adalah penerimaan mereka kepada saya.

“Apa yang buat saya gembira adalah segala perit jerih saya semuanya berbalas apabila menerima segala kritikan dan komen positif dari orang ramai,” kata Musly atau nama sebenarnya Musly Amir Mohamed Ramli merendah diri.

Selain Musly, pelakon utama yang lain iaitu Liza Hanim yang memegang watak sebagai Saloma dan Atilia juga tidak kurang hebatnya.

Sungguh jelas menampakkan lakonan dan penghayatan mereka telah banyak berubah. Tidak nampak mereka kekok mahupun ‘ketakutan’ di atas pentas sebagaimana pada musim pertama tahun lalu.

Ada beberapa adegan lakonan Liza dan Atilia juga berjaya mengundang hilai tawa di kalangan penonton yang menyaksikan telatah mereka di atas pentas yang ternyata berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan jayanya.

Malah, nyanyian mereka juga begitu jelas dan terang sehingga penonton dapat merasakan apa yang mereka cuba sampaikan menerusi watak mereka itu.

Kemunculan Melissa pula sebagai Norizan yang paling dinantikan dan ternyata, dia kembali dengan lebih hebat lagi.

Banyak perubahan yang dapat dilihat menerusi wataknya itu namun, meninggalkan kesan yang cukup berbekas sebagai seorang isteri yang hatinya begitu kosong tanpa belaian daripada seorang suami yang merupakan insan seni yang dipuja.

Percubaan Emelda Rosmila yang menggantikan Datuk Siti Nurhaliza dalam memegang watak Azizah juga tidak kurang menariknya dan masih ada ruang lagi memperbaiki kelemahan kecil seperti mimik muka, penghayatan serta lontaran suara.

Mungkin disebabkan tahun lalu watak Azizah yang dipegang oleh Siti tidak boleh dikembangkan lagi kerana imej dan prinsip Siti, namun, kali ini, penonton akan dibuai dengan kisah cinta Azizah dan P. Ramlee yang dibuat dengan lebih mesra lagi.

Sememangnya dia bukan dilahirkan sebagai penyanyi tetapi dia mampu membawakan lagu Mulanya Cinta dengan gayanya yang tersendiri.

Jika tahun lalu, PRM mempertaruhkan Erwin Gutawa dengan barisan orkestra yang memberikan dimensi baru kepada pementasan teater muzikal tempatan, kali ini, dengan sentuhan magis Roslan Aziz bersama sebelas pemuzik iringan dan lapan orang penyanyi latar, ia telah menjadikan PRM kedengaran sungguh hebat sekali.

Siapa yang mampu menidakkan kehebatan Roslan yang sememangnya terkenal dengan susunan serta gubahan muziknya yang luar biasa itu.

Apatah lagi, lagu-lagu P. Ramlee merupakan santapan jiwanya, tiada masalah buat anak kelahiran Kuala Lumpur itu menjadikan muzik PRM sebagai satu magis yang ternyata memukau penonton pada malam itu.

Seperkara lagi adalah barisan ensemble PRM juga telah memberikan persembahan yang menarik dengan gerak tari mereka yang dilihat begitu sempurna.

Ternyata dedikasi dan kesungguhan mereka dalam menghiburkan penonton sememangnya cukup terserlah dan segala kerja keras mereka berbaloi.

Kesimpulannya, PRM kali ini sememangnya puas ditonton dan segala-galanya adalah sempurna.

Naskhah karya Adlin Aman Ramlie ini yang juga bertindak sebagai pengarah telah berjaya diangkat dengan sempurna.

Dengan dibantu oleh Datuk Zahim AlBakri, PRM ‘wajib’ ditonton oleh masyarakat kita untuk terus mengenang P. Ramlee yang telah banyak berjasa dalam mencipta kegemilangan industri hiburan tanah air.

PRM memberi nyawa kepada penghidupan P. Ramlee untuk kita merasai kegembiraannya saat di puja dan diletakkan di tahap yang begitu tinggi.

Kesedihannya juga dapat kita rasai apabila dia pergi meninggalkan kita dengan hati yang hancur luluh apabila dia tidak lagi dihargai pada sisa-sisa hidupnya yang terakhir.

Pementasan muzikal PRM ini akan berlanjutkan sehingga 14 Jun ini di Istanan Budaya, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

No comments: