"DANCE as though no one is watching you. LOVE as though you've never been hurt before. SING as though no one can hear you. And LIVE...as though Heaven is on Earth."
Monday, 2 June 2008
P.Ramlee the Musical review by Kosmo
another review out today, in Kosmo.
Lebih hebat, menyengat
Oleh FAIZAL SAHARUNI
PEMILIHAN Musly Ramlee, 40, sebagai P. Ramlee melatari P. Ramlee The Musical...The Life, The Loves & The Inspiration (PRTM) nyata tidak silap, malah ditafsir langkah terbijak buat Enfiniti Productions Sdn. Bhd.
Ada relevannya, P. Ramlee dan Musly tiada sebarang hubungan saudara, cuma keterujaan dan semangat membara lelaki bernama Musly terhadap idolanya jadi penyebab 'jelmaan' P. Ramlee muncul kembali lalu 'menghantui' Panggung Sari, Istana Budaya, minggu lalu.
PRTM yang dipentaskan untuk kali keduanya di pentas paling berprestij itu menyaksikan Musly, si imitasi P. Ramlee menggantikan tempat Sean Ghazi sebagai watak utama menerusi pementasan musim pertama produksi skala besar ini Oktober lepas.
LAKONAN Liza Hanim kali ini lebih cemerlang sehingga ke tahap maksima.
Usah gusar mahupun bimbang, gaya dan penampilan Musly sahaja saling tidak tumpah seperti Seniman Agung itu.
Barangkali klon P. Ramlee ini dipilih menggalas subjek utama PRTM atas persamaan yang dinyatakan di atas.
Musly punyai kemampuan mendendangkan lagu-lagu P. Ramlee dengan baik, adakalanya lontaran vokal Musly atau nama sebenarnya Musly Amir Mohamed Ramli, mirip penghibur kesayangan ramai yang sudah pergi dan mengadap Tuhan kira-kira 35 tahun lalu.
Enggan membuat sebarang penilaian atau rumusan awal, kedatangan penulis semasa malam pertama persembahan PRTM Rabu lalu sekadar berharap ada 'keajaiban' yang timbul.
Saat tirai PRTM dikuak tepat 9 malam, rasa kagum mula menyelubungi diri. Pembukaan awalan berhasil membuat audiens tidak mahu berganjak melihat babak seterusnya.
Fikiran terus menerawang seketika, tidak hairan kejayaan PRTM menyeberangi Singapura di Esplanade baru-baru ini memperlihatkan impak membanggakan khususnya penggiat teater tempatan.
Sepanjang dua jam 30 minit PRTM belayar, mata hampir tidak berkelip menontonnya. Telinga pula terpesona mendengarkan dendangan demi dendangan mengasyikkan.
ADA sedikit kekurangan dalam lakonan Melissa Saila sebagai Norizan saat berkongsi babak dengan Musly yang memerankan watak P. Ramlee.
Tidak dinafikan, lirik lagu P. Ramlee mampu membuai sukma dan perasaan pendengarnya.
Menterjemah sebuah ceritera cinta di antara seorang pemuzik dengan wanita yang dicintai cukup dirasai audiens.
Kerana sifatnya bak sebuah pementasan muzikal, PRTM tidak boleh lari daripada elemen broadway, berbaur kontemporari, terutama segi penyampaian dan lenggok suara.
Babak pertama berlatar belakang Pulau Pinang, tempat yang memberi bermacam kenangan buat P. Ramlee, bahkan cinta pertamanya dengan Azizah mula berputik di tempat sama.
Mereka melagukan doa agar cinta yang dibina terus direstui, namun malang buat Azizah, gadis sunti yang sentiasa mengeluh kesah tentang impiannya untuk bertemu cinta sejati.
Kasihnya terhadap P. Ramlee ditentang hebat keluarga yang berasal daripada golongan atasan.
Belum puas bermain kata, saling menyembunyikan perasaan asmaradana dan mengikat ikrar untuk bertemu lagi, Azizah mohon diri untuk berlalu pergi.
BERJAYA mengembalikan nostalgia dunia filem Melayu era silam.
Bagi Azizah, cinta mereka tidak pasti, malah hubungan yang terjalin tidak mungkin kekal. P. Ramlee dan Azizah akhirnya terpisah dek berlainan darjat, lalu P. Ramlee membawa haluan ke Singapura pantas memahat nama sebagai anak wayang.
Di sinilah bermulanya tragedi pelarian cinta bersaksikan airmata dan semangat tinggi menggapai impian.
Hadir mewarnai pentas dalam beberapa babak, lakonan Emelda Rosmila sebagai Azizah kelihatan biasa, malah dia tidak dapat menyembunyikan riak gementar.
Mengambil alih takhta Datuk Siti Nurhaliza yang sebelum ini menjadi Azizah bukan tugasan mudah dan sembarangan. Mereka miliki kemampuan berbeza.
Pengalaman Emelda sebagai pelakon drama mampu memberi kejutan dalam PRTM. Andai berusaha lebih keras, Emelda barangkali dapat menyalakan sinar cerah sebagai salah seorang wanita inspirasi dalam hidup P. Ramlee
'Apa lagi yang baru?' - satu lagi soalan yang mungkin terpacul di fikiran umum kala mahu menyaksikan PRTM musim kedua.
Harus diingat, musim kedua bukannya menawarkan pembaharuan semata-mata, sebaliknya cuba mengutamakan kepuasan.
Sementara itu, Musly berusaha keras mempertingkat sebutan dan patah katanya sebagai P. Ramlee. Hasilnya, ternyata membanggakan!
Membayang Musly sebagai penggiat seni terulung itu sudah tidak jadi gambaran janggal.
Diksi dialog dan nyanyian Musly jelas, malah dia tidak kekok menyandang gelaran P. Ramlee.
Andai Musly kekal konsisten dan jiwanya terus menebal dengan 'roh' P. Ramlee, dia mampu mengundang lebih ramai kehadiran penonton menyaksikan PRTM.
Tiada improvisasi kerana PRTM musim kedua ini baru jadi permainan Musly, cuma ada waktunya dirasakan ada sedikit klise dengan gerak lentuk tangan Musly yang menyamai P. Ramlee.
Memang gaya itu biasa diguna pakai P. Ramlee, namun kekerapan Musly dengan gerakan tangan menerbitkan rasa muak, malah terlihat berlebih-lebihan pula.
Terus dibuai dengan babak-babak yang disusun sistematik, adegan isteri pertama P. Ramlee, Junaidah yang dilakonkan Atilia nampak lebih natural dalam musim terbaru ini. Lihat sahaja Atilia beraksi gedik dan lincah mahu menawan hati P. Ramlee, memang cukup mengena.
Bagaimanapun, ada sedikit kekurangan menerusi watak Norizan yang dilakonkan Melissa Saila. Sebelum memasuki babak kedua, sepatutnya Norizan menghayun langkah bergaya menghampiri P. Ramlee yang ketika itu sedang berduka ditinggal Junaidah.
Dengan gema suara Norizan sebelum dia muncul, peminat menjangkakan impak hebat, namun ia kelihatan agak normal dan kurang menarik. Begitu dapat dirasakan adegan sama antara pada musim pertama jauh lebih baik.
Tidak menjadikan awalan Norizan itu sebagai cacat-celanya, apa pun lakonan mantap pemenang Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Seni BOH Cameronian 2007 awal Mei lalu menerusi PRTM itu memang menonjol di kaca mata umum.
Lantunan dialog dan nyanyian Melissa juga dapat dirasai hadirin, malah bulat bunyinya. Mewarisi bakat lakonan menerusi ibunya, Seniwati Mariani yang pernah terkena 'tempias' P. Ramlee, tidak hairanlah seandainya Melissa meraih penghayatan yang lebih optima.
Watak Saloma yang ditangani penyanyi bersuara gemersik, Liza Hanim memang menjadi. Lenggok badan dan personalitinya menjadikan babak PRTM jadi lebih bermakna dan diresapi perasaan cukup sentimental.
Semangat Liza Hanim untuk beraksi di atas pentas berada di tahap maksima. Dia tidak teragak-agak dengan segala tindakan mahupun langkah tari. Suaranya semerdu Saloma, nyanyiannya juga meyakinkan sehingga memecah kesunyian panggung.
Di tangan Roslan Aziz, sisi muzik PRTM tetap mengasyikkan. Meskipun ada barisan pemuzik lama termasuk Erwin Gutawa yang sebelum ini mengepalai tugas pengarah muzik tidak dikekalkan, namun bunyi-bunyian yang terhasil untuk musim kedua lebih berperisa.
Bunyi percussion dan gendang lebih menggegar, begitu juga dengan elemen muzik moden yang kuat terasa di celah-celah irama kontemporari ala-ala Broadway.
Pat Ibrahim, sekalung tahniah sekali lagi atas koreografi yang kemas lagi indah, terutamanya pada hampir keseluruhan adegan PRTM.
Ilham Raja Maliq dalam mengindahkan set, efekpenataan cahaya, props dan pakaian juga patut diberi penghargaan.
Keseluruhan pasukan produksi PRTM harus diberi apresiasi kerana hasil kerja yang kemas dan menakjubkan.
Buat Tiara selaku penerbit eksekutif, penulis sudah kehabisan kata-kata pujian atas usahanya mengangkat martabat PRTM ke satu lagi peringkat.
Ia bukan kerja mudah, bukan juga sebuah angan-angan kosong. Dan buat Tiara insan seni yang tidak jemu-jemu menghasilkan teater bermutu, anda memang fantastik!
PRTM musim kedua kini sedang rancak dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 28 Mei lalu hingga 14 Jun ini.
Tiket-tiket berharga RM180, RM150, RM100, RM70, RM50 & RM30 boleh didapati di kaunter box-office, Istana Budaya atau hubungi talian 03-4026 5558 untuk sebarang keterangan lanjut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment