Monday, 2 June 2008

P.Ramlee the Musical m-online review





Jiwa Musly sebati jadi P. Ramlee
29-05-2008 12:27:02 PM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ dan NURUL AIN HUSSAIN

MASIH terngiang dan terbayang lagi lakonan mantap pelakon-pelakon Teater Muzikal P. Ramlee..Kehidupan, Percintaan dan Inspirasi (PRTM) ketika pertama kali dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada bulan Oktober tahun lalu.

Lebih-lebih lagi lakonan bermakna daripada Melissa Saila, Liza Hanim dan Sean Ghazi yang membawa watak Allahyarham P. Ramlee di bawah arahan pengarah dan pelakon Adlin Aman Ramlie.

Kali ini, masih menggunakan khidmat pengarah yang sama, Enfiniti Productions sekali lagi menerbitkan teater muzikal tersebut dengan pembaharuan yang lebih bermakna.

Memang nampak ketara perubahannya, lebih-lebih lagi apabila menonton pelakon baru iaitu Musly Ramlee melakonkan watak P. Ramlee menggantikan pelakon musim pertama Sean Ghazi.



Ramai yang memuji kredibiliti Musly untuk menghidupkan watak seniman yang dipuja ramai itu. Bayangkanlah, ada segelintir penonton yang sehingga menitiskan air mata apabila menonton lakonan Musly yang mengingatkan mereka kepada P. Ramlee dan dirasakan P. Ramlee seolah-olah 'hidup kembali'.

Walaupun jalan ceritanya tidak banyak yang diubah, namun dari segi pembawakan dan penghayatan watak pelakon baru seperti Musly dan susunan muzik yang lebih mengikut emosi cerita di bawah pimpinan pemuzik tersohor Roslan Aziz serta latar visual dan props yang banyak membantu kesempurnaan teater itu, PRTM seperti pertama kali dipentaskan dan bukannya musim kedua yang mencedok idea musim pertama secara bulat-bulat.

Hal ini sendiri diakui oleh penerbit eksekutifnya, Datin Tiara Jacquelina yang berbangga dan berpuas hati dengan persembahan pertama bermula semalam hingga 14 Jun depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.



"Persembahan yang 'cantik'. Saya tahu setiap kali teater membuka tirainya, orang akan mempersoalkan tentang kesempurnaan. Memang teater mengejar kesempurnaan tetapi susah untuk mencapai kesempurnaan itu.

"Saya harap apabila penonton yang menonton pada hari ini dapat menghebahkan kepada semua orang bahawa teater kali ini berbeza daripada yang pertama dahulu. Saya dapat merasakan lakonan Musly yang membuatkan teater ini berbeza.

"Saya lihat sambutan penonton pada hari ini pun, saya dah rasa macam nak menangis.Yang istimewanya apabila melihat lakonan Musly. Dia seorang yang tekad, tekun dan bekerja keras. Bayangkanlah, dalam masa enam minggu sahaja dia dapat menghayati watak P. Ramlee dengan baik.



"Kira-kira 80 peratus kumpulan produksi bergantung dengan dia. Dari segi dialog, aksi, bahasa tubuh dan pergerakannya banyak membantu PRTM. Selebihnya diberikan oleh orang lain.

"Saya kira dalam 200 peratus yang dia bagi lebih kepada PRTM selepas balik dari pementasan di Singapura," ujar Tiara selepas PRTM melabuhkan tirai pada hari pertamanya.

Jika PRTM yang pertama dulu, jualan tiket telah habis dijual sebelum tirai pementasan dibuka.


Namun, kali ini penjualan tiket masih dibuka kepada orang ramai dan bagi mereka yang belum berkesempatan untuk menonton PRTM musim pertama dahulu, inilah masanya untuk menyaksikan PRTM yang diberi nafas baru. Memang tak rugi duit kalau menonton!

"Saya rasa PRTM musim kedua ini sedikit mencabar kerana jualan tiket yang tidak sehebat musim pertama dahulu.

"Jadi, ia perlu mengambil masa yang panjang untuk mencapai tahap seperti dahulu," tambah Tiara.

Apabila ditanya kepada Tiara tentang berapa banyak perubahan yang dilakukan sebenarnya?

"Susah saya nak cakap sebab muzikal ini banyak bereksperimentasi dengan muzik. Banyak susunan muzik yang berubah dan PRTM dah jadi seperti cerita baru.

"Kita dah buat lain. Jadi, PRTM kali ini tidaklah dikatakan musim kedua. Selain itu, koreografinya juga baru.


Pelakon lain seperti Douglas Lim (kanan Musly) dan Colin Kirton (kiri Musly) turut membantu menghidupkan PRTM

"Selain itu, lakonan dan lawak Musly yang baru. Dia banyak membuat gaya yang spontan seperti "Apalah terlompat-lompat, macam monyet lah.".

"Skrip tu dia tambah sendiri dan banyak memberi cadangan dengan Adlin untuk menghidupkan watak P. Ramlee. He's so P. Ramlee. Dia 'sebati' macam P. Ramlee," akhiri Tiara yang memuji kejayaan Roslan Aziz ketika mengetuai pemuzik lain mengalunkan 34 buah lagu dalam PRTM.

Antara lagu-lagunya adalah Apakah ada Cinta Darimu Oh Abang Ramlee, Hujan di Tengahari, Hore Hore, Istana Cinta, Di manakah Ku Cari Ganti, Getaran Jiwa, Senandung Kasih, Gelora dan Cinta Berbalas Cinta.

Kali ini, hanya 11 orang pemuzik dan lapan orang penyanyi latar yang diperlukan oleh Roslan untuk menjayakan muzikal tersebut berbanding sekumpulan orkestra yang dibawakan oleh komposer dari Indonesia Erwin Gutawa pada musim lalu.

Musly Ramlee mungkin satu nama yang agak asing bagi peminat teater tanah air. Namun segala persepsi terhadapnya berubah sejak menonton lakonannya sebagai P.Ramlee dalam PRTM 2 malam tadi.

Penulis sempat menemubual beliau di Istana Budaya semalam. Jelas apa yang dapat dikatakan Musly berjaya membawa watak seniman agung, Tan Sri P.Ramlee dengan baik.

Dengan lenggok suara, bahasa tubuh dan rupa saling tidak tumpah dengan lagenda dalam filem Melayu pada zaman kegemilangan studio Jalan Ampas di Singapura ini ternyata Musly punya aura yang membuatkan penonton teruja dengan lakonannya.

Namun kejayaannya yang dicapainya bukan semudah yang disangka. Biarpun kepenatan jelas terbayang namun sinar kegembiraan jelas terpancar diwajahnya setelah selesai tayangan pertama Muzikal P.Ramlee musim kedua.

Menurut Musly, dia cuba memberikan yang terbaik tanpa meniru gaya Sean Ghazi yang membawakan watak seniman agung itu pada PRTM yang pertama.

Biarpun mempunyai masa yang singkat sekitar enam minggu untuk berlatih namun dia berani menanggung risiko untuk membawakan watak idolanya.

“Orang gila sahaja berani terima tawaran melakonkan watak P.Ramlee dalam masa enam minggu. Namun saya teruja ketika mendapat watak tersebut".

“Bukan mudah untuk saya membawakan watak ini namun kerana sifat cinta yang mendalam terhadap karya-karya P.Ramlee saya jadikan ia sebagai cabaran untuk memberi persembahan yang terbaik”.

“Saya rasa bersyukur kepada Allah dan gembira kerana semua orang menghargai karya seniman agung P.Ramlee,” kata Musly.

Musly menyifatkan kejayaan PRTM ini tidak terletak ditangannya seorang.

“Kejayaan hari ini bukan terletak pada saya seorang, rakan-rakan seperjuangan dalam teater ini banyak membantu saya. Tanpa mereka semua saya rasa tidak sempurna pementasan ini”.


PRTM 2 turut dijayakan oleh Melissa Saila (Norizan), Liza Hanim (Saloma), Atilia (Junaidah), Emelda Rosmila (Azizah), Chedd Eddie Yusoff (Sukardi), kumpulan Infinatez (Paparazzi), Douglas Lim (Runme Shaw), Colin Kirton (Run Run Shaw), Joseph Gonzales (BS Rajhans) dan ramai lagi.

Saksikan Teater Muzikal P. Ramlee...Kehidupan, Percintaan dan Inspirasi di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 28 Mei hingga 14 Jun depan.

No comments: