Hebatkah PGL versi drama?
ANDA sudah menonton filem dan teater muzikalnya. Kini, peminat Puteri Gunung Ledang (PGL) akan berpeluang menyaksikan pula versi dramanya di saluran Astro Citra bermula hari ini.
Menjadi filem bajet termahal dalam sejarah perfileman Malaysia dengan menelan perbelanjaan RM20 juta, PGL yang pernah menerima pelbagai pengiktirafan di luar dan dalam negara buat pertama kali akan dipertontonkan di kaca TV.
Dibahagikan kepada empat episod dengan satu episod khas di sebalik tabir, cerita legenda kegemaran ramai itu akan disunting semula dan dimasukkan dengan lima babak baru yang sebelum ini telah dikeluarkan oleh pengarah dari dalam filem.
Maka, bagi mereka yang pernah menonton filemnya yang menceritakan kisah cinta antara Gusti Putri Retno Dumilah dan Hang Tuah, anda pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan kelima-lima babak itu.
"Drama ini akan mengembalikan banyak memori kepada penonton terutama mereka yang pernah menyaksikan filemnya lima tahun lalu. Tapi apa yang penting, anda akan menyaksikan lima babak yang tidak pernah ditonton dalam filemnya sebelum itu.
"Ia juga satu peluang baik bagi mereka yang tidak pernah menonton filemnya. Sebenarnya ramai orang pernah bertanya mengenai babak-babak yang tidak pernah ditayangkan itu. Ini adalah masa terbaik untuk ditayangkan kepada semua di TV," kata Datin Seri Tiara Jacquelina pada sidang media mengumumkan drama itu.
Antara babak yang tidak pernah dilihat adalah Hang Tuah bermimpi bersemuka dengan Hang Jebat dan Tun Mamat mengamuk apabila mendapat tahu tentang pelantikan Hang Tuah sebagai ketua rombongan untuk mengalu-alukan ketibaan puteri.
"Saya sendiri tidak sabar untuk melihat kelima-lima babak itu. Ada satu babak tarian yang menggunakan kesan khas. Ia memberikan sedikit sentuhan magis tetapi babak itu terpaksa dibuang kerana tidak konsisten dengan babak lain. Jadi saya agak sedih ketika itu apabila penonton tidak dapat melihatnya," tambah Tiara.
Menjadi judul drama keenam untuk kempen Suatu Ketika... di Astro Citra, ada sebabnya mengapa PGL dipilih untuk menyertai kempen yang dilancarkan sejak Jun lalu. "Kempen itu memang bertujuan untuk menayangkan cerita-cerita bersejarah seperti PGL. Kami mahu menambahkan kefahaman, fakta dan fiksyen cerita itu kepada penonton," kata Pengurus Saluran Astro Citra, Sharlyza Alis.
|
|
Bersiaran selama satu jam untuk setiap episod, proses suntingan keempat-empat episod hanya mengambil masa tidak lebih daripada sebulan. Namun, ia bukan satu tugas yang mudah memandangkan versi filemnya sudah diadun dengan bunyi.
"Bukan senang untuk menyunting kepada empat episod kerana filemnya sudah diadun dengan bunyi. Tapi apa yang menarik, penambahan babak-babak itu akan melahirkan jalan cerita yang sedikit berbeza daripada filemnya. Ia akan memberikan lebih banyak subcerita seperti kehadiran Tun Teja," tambah Tiara yang memegang watak utama dalam PGL.
Selain daripada empat episod itu, satu episod di sebalik tabir akan ditayangkan kepada penonton. Bukan itu sahaja, dokumentari khas PGL yang menyingkap sejarah serta legenda kesultanan Melaka dan kerajaan Majapahit akan disiarkan menerusi saluran Astro Prima pada 27 Disember, pukul 6 petang.
"Saya berbangga dengan legenda PGL yang masih diteruskan. Cerita PGL sudahpun diterbitkan dalam buku yang digunakan oleh pelajar di sekolah antarabangsa untuk mereka mempelajari sejarah Melaka. Saya juga berharap PGL suatu hari nanti akan dilihat menerusi versi animasi," senyum Tiara mengenai filem yang sudah dijual di 13 buah negara luar.
Jadi bagi mereka yang meminati PGL atau yang tidak sempat menonton filemnya, jangan melepaskan peluang untuk menyaksikan Suatu Ketika...Puteri Gunung Ledang pada setiap Rabu, pukul 9 malam di saluran Astro Citra (Astro 131).
No comments:
Post a Comment