Sunday 6 December 2009

Filem Puteri Gunung Ledang tanpa disunting Oleh Sakini Mohd Said

myMetro
Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my

Rap
ASTRO meneruskan lagi inisiatif dan komitmennya dalam memberi pengetahuan sejarah di kalangan rakyat Malaysia dengan mempersembahkan sebuah lagi dokumentari hebat menerusi platform Suatu Ketika yang berjudul Suatu Ketika...Puteri Gunung Ledang pada Disember ini.

Menariknya, cerita dongeng rakyat ini yang pada awalnya difilemkan dan dipentaskan sebagai sebuah drama muzikal, kini disiarkan dalam siri pendek empat bahagian. Justeru, bagi mereka yang tidak sempat atau ketinggalan menyaksikan filem epik tempatan itu, tentu tidak mahu melepaskan peluang menyaksikannya di Astro Citra.

Suatu Ketika...Puteri Gunung Ledang adalah siri mini yang disiarkan sebanyak empat episod yang dijayakan oleh Datin Seri Tiara Jacquelina, M Nasir dan Adlin Aman Ramlie. Melalui slot Suatu Ketika ini juga, Astro Citra dan Astro Prima turut bekerjasama menyajikan pelbagai kisah legenda dalam dua versi iaitu fiksyen dan dokumentari. Bagi versi fiksyen, ia akan disiarkan melalui Astro Citra dan versi dokumentari pula akan disiarkan menerusi Astro Prima.

Memberi kelainan, Astro Citra bukan sekadar memaparkan kembali filem epik itu, tetapi turut memuatkan babak filem yang belum pernah dilihat sebelum ini bagi menambahkan lagi kefahaman fakta dan fiksyen sejarah mengenai cerita legenda hebat ini. Menjadi persoalan, mengapa adegan itu dipotong dan tidak ditayangkan sebelum ini?

Menurut Pengarah Urusan Enfiniti Productions Sdn Bhd, Tiara, ada beberapa babak dalam filem itu terpaksa dipotong kerana melebihi masa tayangan yang ditetapkan.

"Selepas ditawarkan oleh pihak Astro untuk menyiarkan filem Puteri Gunung Ledang menerusi empat siri pendek di slot Citra, saya terus bersetuju. Bagi saya, apa salahnya mengambil peluang itu kerana yakin masih ramai lagi yang ingin menonton filem itu tetapi tidak berkesempatan.

"Lagipun, ia sebuah karya hebat hasil sentuhan semua tenaga produksi termasuk pengarahnya, Saw Teong Hin. Sayang, kalau ia dibiarkan begitu saja kerana Puteri Gunung Ledang adalah filem pertama Malaysia yang disenarai singkat dalam pencalonan Anugerah Akademi Ke-77 untuk kategori Filem Bangsa Asing Terbaik.

"Malah, ia mencatat sejarah apabila ditayangkan dengan kutipan hujung minggu paling tinggi mencecah RM314,000 pada Ogos, 2004. Selain persada tempatan, filem epik ini juga berjaya dijual dan ditayangkan di 13 buah negara termasuklah Eropah, China dan Thailand.

"Saya akui agak kecewa apabila beberapa adegan dalam filem itu tidak dapat ditayangkan kerana melebihi masa ditetapkan. Disebabkan itu, apabila mendapat peluang ini saya gembira kerana usaha kami bertungkus-lumus menyiapkan Puteri Gunung Ledang, akhirnya dapat dipertontonkan keseluruhan cerita.

"Antara adegan yang belum pernah dilihat sebelum ini ialah babak Hang Tuah bermimpi bersemuka dengan Hang Jebat, Tun Mamat mengamuk apabila mendapat tahu mengenai perlantikan Hang Tuah sebagai ketua rombongan dan ketika Hang Tuah membawa lari Tun Teja atas perintah Sultan.


"Selain dari itu, ada satu babak (tarian) yang amat menarik kerana diselitkan elemen 'magic' dan penggunaan kesan khas yang membuatkan penonton lebih teruja untuk mengetahui kesudahan cerita," katanya selepas sidang media projek Suatu Ketika...Puteri Gunung Ledang (Astro Citra) di Borneo Rainforest Restaurant, Bandar Sunway, baru-baru ini. Turut hadir di majlis itu ialah salah seorang penolong pengarah filem Puteri Gunung Ledang, Hairul Salleh Askor dan pelakon yang menjayakan watak Raja Ahmad, Muhammad Naufal Nasrullah Hamdan.


Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Citra, Sharlyza Alis Sharkawi berkata, pemilihan filem Puteri Gunung Ledang untuk disiarkan menerusi slot Citra, adalah terbaik dan sesuai dengan objektif mereka untuk memberi pengetahuan selain menghiburkan.

"Sejak dilancarkan pada Jun lalu, sambutan yang diterima terhadap program Suatu Ketika... menerusi versi cereka dan dokumentari, amat memberangsangkan. Kami juga berjaya memenangi anugerah Dokumentari Akademik Terbaik dalam Festival Dokumentari Malaysia yang diadakan baru-baru ini menerusi Suatu Ketika...Rosli Dhoby.

"Justeru, apabila melihat filem Puteri Gunung Ledang sudah ada, terfikir mengapa tidak kami bergabung tenaga untuk menyiarkannya kembali kepada penonton setia program Suatu Ketika...? Malah, kami gembira apabila Astro Citra adalah yang pertama menyiarkan keaslian filem Puteri Gunung Ledang yang sebelum ini sudah dipotong beberapa babak.

"Bagi proses penerbitan dokumentari, pihak yang terbabit bukan Enfiniti, tetapi kami sendiri. Di sebabkan itu, ia lambat disiarkan kerana ada beberapa perkara yang belum disiapkan lagi," katanya.

Suatu Ketika...Puteri Gunung Ledang akan disiarkan Selasa ini, 2 Disember jam 9.30 malam di Astro Citra (saluran 131). Dokumentari yang akan menyingkap sejarah dan legenda Kesultanan Melaka serta kerajaan Majapahit akan menemui penonton pada 27 Disember ini jam 6 petang, di Astro Prima.

No comments: